Seminggu dua kebelakangan ini, usahawan tani di Malaysia dikejutkan dengan penurunan harga Cili yang melampau. Ada maklumbalas mengatakan sehingga RM 2/kg di ladang. Untuk usahawantani, harga kos yang diperlukan adalah sekitar RM 4/kg – RM 5/kg bagi setiap musim penanaman. Dengan harga yang tidak balik modal begini, kesan besarnya bukan sekadar terhadap usahawantani tetapi juga terhadap industri Cili dan kedaulatan makanan negara itu sendiri.

Melihat kepada Graf 1 di bawah, ternyata penurunan harga telah berlaku sejak awal tahun 2021 berbanding harga puncak pada Suku Ke-4 tahun 2020.

Daripada LAPORAN SENARIO SEMASA BEKALAN, PERMINTAAN DAN HARGA PASARAN MINGGUAN HASIL PERTANIAN bagi minggu ke 19 tahun 2021, FAMA memetik usahawantani Tan Boon Ann di negeri Perak yang memaklumkan penurunan harga disebabkan lebihan pengeluaran di peringkat ladang dan penurunan permintaan oleh peniaga tempatan dan luar. Ini adalah dua faktor besar yang mempengaruhi harga ladang.

Tetapi adakah ini punca sebenarnya ?

Mengikut tinjauan Kapitani dilapangan, ketiadaan data pertanian tepat yang boleh untuk kita membantu industri pertanian menyukarkan untuk kita membuat kesimpulan mudah. Di pihak berwajib, apabila dikatakan faktor lebihan pengeluaran, adakah ianya disebabkan oleh pengeluaran domestik atau ada Cili import yang dibawa masuk ke dalam pasaran tempatan? Di pihak petani pula , adakah kita berusaha untuk menjadualkan penanaman Cili secara total bagi membantu menstabilkan harga ladang mengikut permintaan pasaran?

Hasil temubual kami bersama En. Shakran, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kuala Langat, beliau memaklumkan terdapat beberapa faktor penting untuk kita membantu usahawantani supaya harga lebih stabil dan juga tindakan pihak berwajib untuk mengekalkan pengeluaran tempatan, sebelum sebarang kelulusan Cili import diberi.En. Shakran turut menekankan bahawa dengan situasi ini, Cili tempatan hanya akan mampu menghasilkan sekitar 20% daripada permintaan tempatan akibat daripada kerugian yang dialami untuk tempoh ini.

Untuk usahawan tani, beberapa staretgi penting yang perlu dikuasai:

i. Penghasilan cili hendaklah berstrategi dengan 50% pengeluaran adalah untuk ladang kontrak, dan 50% lagi adalah untuk pasaran tempatan. Ini akan membantu usahawantani untuk bertindakbalas apabila berlaku insiden harga jatuh sebegini.

ii. Usahawantani hendaklah bersama-sama dalam kelompok dan kumpulan masing-masing, supaya kerjasama ini dapat membantu usahawantani bersama-sama meneroka pasaran baru dan meningkatkan hasil pengeluaran. Contoh mudah untuk ini adalah dengan menghasilkan jadual penanaman yang lebih menyeluruh mengikut permintaan pasaran tempatan.

iii. Data dan rekod pertanian adalah nyawa usahawantani. Ini akan menyediakan usahawantani untuk sebarang maklumbalas pasaran yang tidak munasabah seperti anggapan bahawa insiden harga jatuh sekarang adalah akibat lambakan pengeluaran tempatan.


0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *